Pengurusan Sumber Manusia
PENGURUSAN SUMBER MANUSIA
TUJUAN
Tujuan tugasan ini
adalah untuk mempertingkatkan kebolehan pelajar untuk membincangkan
cabaran-cabaran pengurusan sumber manusia di dalam sesebuah organisasi.
KEPERLUAN
Bincangkan bagaimana perubahan-perubahan dalam ekonomi dan teknologi
Malaysia boleh mempengaruhi pengurusan sumber manusia di dalam organisasi anda
atau organisasi yang anda kenali. Cadangkan cara-cara untuk menangani
perubahan-perubahan ini bagi memperbaiki pengurusan sumber manusia organisasi
berkenaan.
ISI
KANDUNGAN
NO.
|
TAJUK
|
1.
|
Pengenalan Organisasi - Intiga
Sdn. Bhd.
|
2.
|
Pengenalan Sumber Manusia
|
3.
|
Perbincangan
mengenai perubahan-perubahan dalam ekonomi Malaysia yang boleh mempengaruhi
pengurusan sumber manusia di Intiga Sdn. Bhd..
|
4.
|
Perbincangan
mengenai perubahan-perubahan dalam teknologi Malaysia yang boleh mempengaruhi
pengurusan sumber manusia di Intiga Sdn. Bhd.
|
5.
|
Cadangan untuk
menangani perubahan-perubahan tersebut bagi memperbaiki pengurusan sumber
manusia Intiga Sdn.
Bhd.
|
6.
|
Rumusan
|
7.
|
Rujukan
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
1.
PENGENALAN ORGANISASI
Intiga
Sdn Bhd
Intiga Sdn Bhd (INTIGA) adalah sebuah syarikat swasta yang menjalankan perniagaan di dalam bidang hiasan dalaman bagi bangunan-bangunan komersial di Malaysia khususnya Kuala Lumpur. Syarikat ini ditubuhkan pada tahun 1984. Perniagaan INTIGA bermula dengan projek hiasan dalaman perumahan sehingga berkemampuan untuk membida projek bangunan komersial di Malaysia seperti projek hiasan dalaman Majestic Hotel, pusat membeli belah Pavilion dan Farenheit di Kuala Lumpur dan beberapa bangunan kerajaan persekutuan di Putrajaya. Kini, INTIGA lebih fokus kepada projek yang melibatkan penambahbaikan kecantikan bangunan menggunakan batuan marble.
Pengurusan INTIGA diterajui oleh Encik Nick Looi sebagai Pengarah Urusan yang mempunyai pengalaman luas di dalam bidang hiasan dalaman terutamanya yang berkaitan dengan batuan marble. Beliau dibantu oleh 20 orang profesional bagi menerajui pihak pengurusan dan 75 orang staf di bahagian teknikal seperti di Rajah 1.
Kebanyakan produk batuan marble yang digunakan oleh INTIGA adalah diimport sepenuhnya dari luar negara seperti Turki, China dan juga Itali selain disokong oleh produk tempatan terutamanya batuan dari kawasan bukit di sekitar Simpang Pulai, Perak. Batuan marble yang dipilih adalah dari kualiti yang tinggi yang mempunyai aluran batuan unik dan menarik.
INTIGA beroperasi sepenuhnya di pejabat tiga tingkat di Jalan Kuching, Kuala Lumpur. INTIGA juga mempunyai sebuah kilang di Simpang Pulai, Perak untuk memproses batuan mentah sebelum dihantar ke tapak projek. Encik Nick Looi sentiasa memastikan produk akhir yang dihasilkan oleh syarikatnya sentiasa melebihi jangkaan pelanggannya. Beliau sering turut turun padang melihat sendiri setiap pemilihan batuan marble bagi memastikan kualiti dan hasil senantiasa berada pada tahap yang tertinggi.
Hasil dari kerja keras dan dedikasi seluruh organisasi, INTIGA telah berjaya bertahan dan meneruskan legasi perniagaannya selama 33 tahun. Encik Nick Looi sentiasa percaya, pelanggan mempunyai hak untuk mendapatkan hasil yang terbaik dari setiap wang yang mereka laburkan.
2. PENGENALAN SUMBER MANUSIA.
Sumber manusia
ditakrifkan sebagai sekumpulan kakitangan dan pekerja yang berkhidmat dalam
sesebuah organisasi. Tidak mungkin sesebuah organisasi boleh wujud tanpa sumber
manusia yang membantu operasinya atau mengendalikannya. Walau sekecil manapun
sesebuah perniagaan , ia pasti memerlukan kerjasama dari sumber manusia
dari luar atau rakan-rakan perniagaan lain untuk memastikan
kelestariannya. Tujuan diwujudkan pengurusan sumber manusia adalah untuk
memastikan bahawa manusia yang diambil bekerja oleh organisasi digunakan dengan
cekap dan berkesan agar mereka berupaya menyumbang kepada pencapaian
matlamat organisasi.
Dahulu, sumber manusia
dikenali sebagai ‘kos’ kepada organisasi kerana perlu dibayar gaji, diberi
berbagai bentuk faedah dan cuti, bonus dan faedah kesihatan. Kini, mereka
dikenali pula sebagai ‘aset’ kepada organisasi. Pada hakikatnya, manusia adalah
nadi utama dalam sesebuah organisasi agar ia dapat bergerak dengan lancar.
Anjakan paradigma inilah yang mencetuskan betapa pentingnya sesebuah organisasi
menghargai hasil kerja yang berkualiti yang ditunjukkan oleh kakitangan dan
pekerja mereka. Pengurusan tertinggi organisasi juga perlu memastikan tenaga
kerja yang menerajui organisasi mereka mampu memanifestasikan misi, objektif
dan saranan korporat seperti yang dikehendaki. Oleh itu, pengurusan sumber
manusia perlu untuk menentukan pencapaian objektif dan matlamat organisasi.
Pengurusan sumber
manusia merupakan satu bahagian dalam pengurusan yang mempunyai hubungan yang
rapat sesama individu. Di samping itu juga, ia menumpukan terhadap pencapaian
dan kehendak serta keperluan kepada pelanggan, di mana ia boleh membantu
organisasi memberi kepuasan kepada keperluan luaran pelanggan. Pengurusan
sumber manusia merupakan aspek penting dalam strategi pembangunan sumber
manusia yang merupakan kunci kepada kejayaan organisasi. Pekerja merupakan
harta yang penting dan berharga berbanding dengan sumber lain dalam organisasi.
3. PERBINCANGAN MENGENAI PERUBAHAN-PERUBAHAN DALAM EKONOMI MALAYSIA
YANG BOLEH MEMPENGARUHI PENGURUSAN SUMBER MANUSIA DI INTIGA SDN BHD.
Keutuhan ekonomi
sesebuah negara memainkan peranan yang sangat penting dalam menjamin kestabilan
dan kekuatan negara tersebut. Negara yang mempunyai kekuatan ekonomi tidak
mudah ditekan oleh kuasa luar dan berupaya menjaga keperluan rakyatnya. Pertumbuhan dan penguncupan ekonomi negara memberikan kesan secara langsung kepada syarikat yang beroperasi di
negara tersebut dan juga kepada kehidupan rakyatnya melalui kenaikan cukai,
penetapan gaji minimum dan pengurangan bantuan kerajaan seperti insentif,
subsidi dan sebagainya.
Akibat daripada
kepesatan perubahan di dalam ekonomi Malaysia, maka pengurusan sumber manusia
di dalam organisasi juga harus diuruskan dengan baik supaya tidak terdapat
pembaziran sumber untuk memastikan segala kerja yang dilakukan menghasilkan
produktiviti yang optimum. Kelancaran operasi organisasi amat bergantung secara
langsung dengan sumber manusia. Hal ini kerana, tanpa tenaga kerja, tidak
mungkin operasi organisasi dapat bergerak lancar seterusnya menyumbang kepada
sistem ekonomi Malaysia. Walaupun terdapat mesin dan jentera yang telah dicipta
untuk memmudahkan sistem pengurusan dan pemprosesan, akan tetapi manusia tetap
diperlukan untuk menguruskan, memantau dan menggunakan mesin-mesin tersebut
supaya ianya sentiasa boleh beroperasi sempurna.
Seperti mana Intiga yang
terlibat di dalam industri pembinaan, tenaga buruh kasar merupakan tonggak
kepada perjalanan industri ini. Menurut sumber Malaysia Digest,
kebanyakkan buruh kasar yang terlibat dengan pekerjaan 3D (Dirty, Dangerous,
Difficult) di Malaysia datangnya dari negara seperti Indonesia, Pakistan,
Bangladesh, Nepal, India Filipina dan Myanmar. Rata-rata yang datang bekerja di
Malaysia adalah kerana keadaan ekonomi negara yang lebih baik dan stabil
daripada negara mereka yang memberikan nilai matawang yang jauh lebih tinggi
apabila didagangkan kembali di tanahair mereka. Oleh yang demikian, sebarang
perubahan ekonomi negara akan memberikan impak yang besar kepada perjalanan
operasi syarikat.
Sebagai contoh, perkembangan ekonomi di
Malaysia antara tahun 2005-2008 membawa banyak perubahan kepada pengurusan
sumber manusia Intiga. Pada ketika itu, syarikat mendapat beberapa projek
berskala besar seperti projek hiasan dalaman di pusat membeli belah Pavilion
yang memerlukan tenaga kerja buruh yang banyak. Pada ketika itu, pengurusan
sumber manusia Intiga perlu merangka strategi terbaik bagi merekrut tenaga
buruh yang bertenaga dan mempunyai skil di dalam bidang pemasangan marble bagi
memastikan kerja-kerja dapat disiapkan dalam masa yang telah ditetapkan oleh
kontrakor utama. Langkah utama Intiga adalah bekerjasama dengan Construction
Labour Exchange Centre Berhad bagi mendapatkan bekalan tenaga buruh
berkemahiran.
Manakala ketika ekonomi Malaysia merosot
pada tahun 2016-2017, Intiga terpaksa mengurangkan
bilangan pekerja sama ada melalui pemberhentian pekerja atau pengurangan kerja
lebih masa bagi mengurangkan kos buruh bagi memastikan kelangsungan operasi
syarikat. Pengurusan suber manusia perlu mengeluarkan notis masa yang
secukupnya kepada para pekerja agar kebajikan mereka tidak diabaikan selepas
pemberhentian tersebut. Antara bukti keprihatinan Intiga kepada bekas
pekerjanya, pampasan wang mengikut senioriti diberikan kepada yang layak.
Selain itu, pengurusan sumber manusia Intiga bekerjasama dengan kontraktor -
kontraktor yang lain seperti Pesona Metro Sdn Bhd dan WCT Construction Sdn Bhd
bagi cuba mendapatkan penempatan pekerjaan semula bagi pekerja yang
diberhentikan.
Di dalam keadaan ekonomi
yang agak kurang memberangsangkan, projek-projek yang diterima adalah berskala
sederhana dan kecil. Akibat dari itu, pungutan kewangan syarikat adalah
perlahan menyebabkan syarikat perlu berhati-hati di dalam setiap urusan
perbelanjaan. Seterusnya bajet di dalam
organisasi juga perlu dikurangkan dan dikecilkan. Kos yang diperuntukkan untuk
program latihan staf seperti Program Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSH)
dan program bersama CIDB diminimalkan bagi memberi ruang pada kos perjalanan
syarikat yang lebih penting.
Apabila keadaan ekonomi
berubah, pihak pengurusan sumber manusia organisasi mesti mengubahsuaikan
rancangannya agar organisasi dapat memenuhi keperluan keadaan semasa.
Pengurusan syarikat perlu mengikut keperluan semasa organisasi dengan
merekabentuk dasar rancangan sumber manusia untuk jangkamasa panjang dan
pendek. Selari dengan keputusan mengurangkan kos sumber manusia, syarikat masih
juga perlu memastikan pekerja sentiasa mempunyai moral yang tinggi selain mampu
meningkatkan kualiti kerja dan dapat bersaing dengan pasaran yang lebih kompetitif.
Namun demikian, apabila keadaan ekonomi pulih kembali, pengurusan sumber
manusia Intiga berusaha menyediakan pampasan dan faedah yang lebih baik kepada
pekerjanya bagi memastikan pekerja akan setia berkhidmat dan tidak berpaling
kepada pesaing.
4. PERBINCANGAN MENGENAI PERUBAHAN-PERUBAHAN DALAM TEKNOLOGI MALAYSIA
YANG BOLEH MEMPENGARUHI PENGURUSAN SUMBER MANUSIA DI INTIGA SDN BHD.
Perubahan
teknologi bermaksud inovasi, penemuan-penemuan baru dan hal-hal lain yang
bertujuan mengembangkan teknologi untuk mempermudahkan kegiatan-kegiatan
manusia dan memberikan pengaruh yang besar kepada kehiduan masyarakat.
Teknologi
yang sesuai akan memberi kesan kepada pelaksanaan tugas dalam mencapai matlamat
organisasi. Teknologi bukan sahaja digunakan untuk memudahkan kerja manusia,
malah lebih dari itu, teknologi juga telah mempengaruhi cara bagaimana manusia
berkomunikasi. Fungsi teknologi kini juga dilihat semakin berkembang di dalam
organisasi dan dapat meningkatkan kecekapan pihak pengurusan dalam pelbagai
aspek terutama yang melibatkan kos di mana dengan adanya penggunaan teknologi,
kadar kesilapan turut dapat dikurangkan dan sekaligus dapat membantu prestasi
pekerja yang menjalankan urusan tersebut.
Sebagai
contoh, penggunaan aplikasi Whatsap amat berguna di dalam pengurusan Intiga.
Dengan menggunakan aplikasi ini, pihak pengurusan sumber manusia dapat mengesan
kedudukan krew tapak (site crew) dengan menggunakan menu “live
location”. Ini dapat mengelakan krew tapak “mencuri tulang” ketika bekerja.
Jika sebelum adanya teknologi “live location” ini, pengurusan sumber manusia
tidak dapat memantau secara tepat kedudukan semasa krew tapak. Ini adalah
kerana, lokasi tempat kerja mereka telah disimpan di dalam telefon mudah alih bagi
memudahkan mereka mengaburi pihak pengurusan apabila diminta berkongsi lokasi
semasa. Pemantauan “live location” melalui teknologi Whatsap ini amat
bermanfaat dan membantu memudahkan pengurusan sumber manusia menjejaki
kedudukan sebenar krew tapak sekaligus dapat mengurangkan gejala “curi tulang”.
Intiga
mempunyai tiga buah kenderaan komersial yang digunakan untuk mengangkut batuan
marble dari kilangnya di Ipoh ke tapak-tapak pembinaan. Ketiga-tiga kenderaan
ini diletakkan di bawah tanggungjawab dan pengawasan pengurusan sumber manusia.
Tiga buah kenderaan tersebut adalah lori 10 tan, lori 1 tan dan sebuah van.
Sebelum wujudnya teknologi pengesanan kenderaan (Global Positioning System,
GPS), pengurusan sumber manusia hanya bergantung kepada maklumat dan maklumbalas
dari pemandu kenderaan. Ini menyukarkan pihak pengurusan untuk mendapatkan
maklumat yang tepat kerana bergantung sepenuhnya kepada maklumat lisan tanpa
data yang boleh dirujuk. Namun demikian pada tahun 2000, sistem GPS kenderaan
diperkenalkan dan pihak pengurusan sumber manusia berpendapat pemasangan
teknologi dapat memberikan data maklumat yang tepat mengenai kenderaan di bawah
seliaannya. Sejak dari itu, pemantauan menjadi lebih efisyen dan tepat kerana
sistem ini dapat mengenalpasti kedudukan kenderaan dengan lebih tepat. Ianya
juga mengawal kos secara tidak langsung kerana pemandu perlu mengikut laluan
yang telah ditetapkan oleh pengurusan. Dengan ini, kos bagi petrol dan tol
sudah dapat di kawal. Selain kos, pemandu juga perlu mematuhi had laju yang
ditetapkan kerana teknologi GPS menghadkan kelajuan kenderaan pada kadar yang
ditetapkan oleh undang-undang. Keadaan ini mengurangkan risiko kenderaan dari
disaman oleh pihak berkuasa sekaligus mengurangkan tekanan kerja kepada
pengurusan yang dipertanggungjawabkan.
Penggunaan
teknologi untuk berkomunikasi juga telah meluaskan konteks berkomunikasi di
dalam organisasi Intiga. Komputer dan sistem maklumat yang sofistikated
hanyalah permulaan perubahan yang memberi kesan kepada pengurusan dan aktiviti
organisasi. Teknologi adalah perangsang
perubahan yang meluas di mana ianya memerlukan penglibatan pekerja, aktiviti
harian pengurus dan kebolehan organisasi untuk bertindak balas. Sebagai contoh,
komputer dapat digunakan untuk membuat kawalan dan arahan penyelia. Jika
sebelum ini, penggunaan komputer hanya digunakan oleh pihak pengurusan, namun
ianya sekarang telah diperluaskan kepada penyelia tapak bagi memudahkan mereka
menghantar laporan tapak kepada pihak pengurusan. Keadaan ini akan menjadikan jangkauan
kawalan yang lebih mudah dan teknologi maklumat juga akan menjadikan organisasi
lebih responsif. Pekerja perlu didedahkan kepada perkembangan teknologi terkini seperti
pengetahuan teknologi maklumat untuk meningkatkan kecekapan mereka dan
meningkatkan daya saing organisasi. Oleh itu, pihak pengurusan sumber manusia
perlu sentiasa merangka pelan program latihan dan pembangunan disediakan kepada
pekerja untuk membantu pekerja memperolehi kemahiran yang dapat memenuhi
tuntutan teknologi baharu. Perubahan teknologi dapat memberi perubahan terhadap
cara sesuatu kerja dilakukan atau jenis kemahiran yang diperlukan untuk
melakukan kerja. Perubahan yang demikian sudah tentu akan memberi kesan
terhadap pengurusan sumber manusia.
Cabang perniagaan Intiga
memerlukan syarikat untuk berhubung dengan pembekal batuan di luar negara
seperti China, Italy dan Greece. Jika sebelum penggunaan internet digunakan
secara meluas di Malaysia, syarikat terpaksa bersusah payah menghantar surat
yang akan mengambil masa yang lama untuk berinteraksi. Namun demikian,
penggunaan internet menunjukan kemudahan untuk berhubung ke seluruh dunia tanpa
mengira faktor geografi sama ada jauh ataupun dekat.
5. CADANGAN UNTUK MENANGANI
PERUBAHAN-PERUBAHAN EKONOMI & TEKNOLOGI BAGI MEMPERBAIKI PENGURUSAN SUMBER
MANUSIA INTIGA SDN BHD.
Untuk menghasilkan warga yang cemerlang di
dalam sesebuah organisasi, pengurusan sumber manusia perlu mempunyai strategi
yang mampan dan berkesan. Ianya merujuk kepada cara dan pendekatan pengurusan
strategik yang digunakan oleh organisasi untuk mengurus dan mengawal aktiviti
yang berkaitan dengan sumber manusia dalam organisasi agar selari dan mencapai
matlamat organisasi. Ianya melibatkan elemen terpenting dalam organisasi iaitu
individu yang menyumbangkan idea, kepakaran dan tenaga ke arah pencapaian
objektif organisasi.
Dalam tempoh sepuluh tahun yang lepas,
Intiga telah melalui pelbagai perubahan persekitaran seperti kemelesetan
ekonomi serta perkembangan pesat teknologi maklumat dan komunikasi yang mempunyai
impak mendalam ke atas pembangunan, perancangan serta pengurusan sumber
manusianya. Dalam aspek pengurusan
sumber manusia, perubahan-perubahan ini merupakan cabaran yang telah
menimbulkan pelbagai isu terkini yang memerlukan semakan semula beberapa dasar
dan peraturan.
Pendekatan secara menyeluruh, sistematik dan
strategik yang meliputi pelbagai aspek termasuk perancangan, latihan,
perkembangan kerjaya, keselamatan dan kesihatan, kebajikan, penilaian prestasi,
aspek disiplin serta ganjaran adalah cabaran yang perlu ditangani dengan baik
bagi mengelakkan daripada timbulnya beberapa isu lain yang memudaratkan imej
dan reputasi organisasi di dalam usaha melahirkan warga cemerlang di dalam
masyarakat atau organisasi.
Proses ini telah menjadikan dasar kerja pengurusan sumber manusia di Intiga mengalami satu proses transformasi yang amat besar iaitu daripada cara kerja secara manual kepada cara kerja berasaskan intelektual menerusi teknologi maklumat dan telekomunikasi yang sentiasa berkembang pesat. Jabatan sumber manusia Intiga berupaya untuk menilai, mengikuti dan mentafsir isu -isu ini dan serta berdaya saing dalam melahirkan warga kerja yang cemerlang. Oleh yang demikian, Intiga sentiasa menggunakan pendekatan secara menyeluruh, sistematik dan strategik yang meliputi pelbagai aspek termasuk perancangan, latihan, perkembangan kerjaya, keselamatan dan kesihatan, kebajikan, penilaian prestasi, aspek disiplin serta ganjaran bagi mengelakkan timbulnya isu kelemahan warga kerja akibat dari perubahan ekonomi dan teknologi semasa yang mampu memudaratkan imej dan reputasi organisasi.
Antara cabaran utama
yang dihadapi oleh pengurusan sumber manusia Intiga dalam menangani perubahan
teknologi adalah kemahiran pekerja dalam menggunakan aplikasi moden seperti
Whatsap. Boleh di katakan aplikasi moden ini muncul ketika sesetengan waga
kerja sudah menjangkau umur 40-an. Pemikiran mereka yang berbeza dengan
pemikiran orang muda biasanya menyukarkan pembangunan dalam sistem pengurusan
sumber manusia. Terdapat segelintir pemandu kenderaan dan krew tapak yang tidak
mahu mengikut arus perubahan teknologi dan tidak mahu bekerjasama dalam
bersama-sama membangunkan perubahan yang cuba dibuat oleh pihak pengurusan.
Akibat dari masalah ini, pihak pengurusan sumber manusia melantik seorang
pegawai teknologi maklumat bagi membantu mengajar dan menyalurkan maklumat
tentang kebaikan dan kesenangan menggunakan teknologi yang telah dibangunkan.
Unit pengurusan sumber manusia perlu memainkan peranan dan kuasa yang ada untuk
memotivasikan pekerja mengenai perubahan teknologi ini. Hal ini kerana unit
sumber manusia mempunyai tanggungjawab yang besar terhadap perubahan semasa.
Adalah penting bahawa usaha-usaha untuk meningkatan kualiti pengurusan perlu
diperkukuhkan dan usaha-usaha ini harus bermula dengan kesedaran dan komitmen
peringkat yang tertinggi dalam susun lapis pengurusan organisasi.
Pengurusan sumber
manusia Intiga sentiasa menekankan supaya setiap kakitangannya perlu sentiasa
mengikuti perkembangan terkini dunia terutama dalam sektor pembinaan. Aktiviti
hiliran sesuatu sumber perlu sentiasa diinovasikan agar ianya sentiasa menjadi
pilihan pengguna yang sentiasa mahukan trend yang baru, terkini dan segar.
Banyak saingan yang diterima terutama kepada idea-idea hiasan dalaman
menggunakan jubin dan marble. Oleh yang demikian, pihak pengurusan sentiasa
menjadikan saingan sebagai tanda aras agar pihak syarikat perlu sentiasa
memastikan penyaluran maklumat, layanan kepada pelanggan dan mutu produk yang
dihasilkan mencapai standard yang boleh dibanggakan. Teknologi penyaluran dan
penerimaan maklumat seperti email, carian melalui internet dan penyertaan di
dalam pameran produk dan inovasi terkini di dalam sektor pembinaan di jadikan
landasan utama agar syarikat sentiasa mendapat maklumat terkini.
6. KESIMPULAN
Sumber manusia merupakan aset dan elemen
terpenting dalam sesebuah organisasi untuk mencapai
keberkesanannya. Dalam era globalisasi, persoalan daya
saing dan daya tahan sesebuah organisasi menjadi fokus masa kini. Fungsi utama sumber manusia seperti pampasan,
perancangan dan perekrutan, pemilihan dan sosialisasi, latihan dan perhubungan
industri merupakan aspek yang membantu mencapai keberkesanan pengurusan sumber
manusia dalam sesebuah organisasi. Evolusi yang ketara dapat dilihat dalam
pembangunan pengurusan dan perancangan sumber manusia yang lebih mementingkan
kebajikan, birokrat kemanusiaan, perundingan, kepentingan konsep menang-menang
dan analisa tenaga kerja. Yang paling penting ialah anjakan paradigma terhadap
sumber manusia daripada kos kepada aset.
Kaedah yang digunapakai
oleh pengurusan sumber manusia sesebuah organisasi di Malaysia tidak boleh
membelakangi nilai-nilai murni yang sedia ada di Malaysia dengan mengambilkira
aspek keagamaan, kebudayaan dan adat resam setempat. Peranan pengurusan sumber
manusia juga semakin jelas sebagai pembantu kepada rakan pengurus-pengurusnya
yang lain dalam menentukan penggunaan sumber manusia yang paling berkesan.
Professionalisme pengurusan sumber manusia melibatkan pengetahuan teoritikal,
pendidikan dan latihan, kemahiran dan ketrampilan, organisasi yang sesuai dan
kod etika yang adil. Pengurus sumber manusia hari ini lebih perlu menumpukan
kepada sumbangan terhadap membangunkan formula pelaksanaan strategi korporat
dan sasaran perniagaan. Dapat juga disimpulkan bahawa organisasi perlu
membangunkan strategi pengambilan tenaga kerja berdasarkan suasana buruh semasa
seperti faktor-faktor ekonomi dan demografi. Suasana kegawatan juga telah
meninggalkan impak yang kuat terhadap suasana permintaan dan pembekalan sumber
manusia dimana pengurusan dan perancangan perlu dilakukan secara lebih berkesan
dan mampu menghasilkan keputusan yang cenderung kepada kejayaaan objektif
sesebuah organisasi itu sendiri.
Sesungguhnya pengurusan sumber manusia yang
efisyen berupaya memastikan kelestarian sesebuah organisasi itu. Namun
kepincangan pengurusan sumber manusia telah membangkitkan pelbagai isu. Isu-isu
sedia ada dalam pengurusan sumber manusia termasuklah isu berhubung kait
penilaian prestasi, pemberian insentif, teknologi ICT, proses perekrutan dan
pemilihan staf, latihan dan pembangunan staf, pembangunan kerjaya staf dan isu
kepimpinan. Sehubungan itu cabaran yang dihadapi dalam pengurusan sumber
manusia perlu ditangani dengan bijak melalui penggemblengan usaha antara
pemimpin, majikan, golongan pekerja dan masyarakat secara keseluruhannya. Ini
bagi memastikan ke semua isu dapat diatasi dengan baik. Jika isu-isu yang
timbul tidak ditangani dengan betul dan teliti ia boleh mengakibatkan kesan dan
implikasi yang buruk ke atas sesebuah organisasi di dalam melahirkan warga
cemerlang dan seterusnya ia boleh menjejaskan imej serta reputasi sesebuah
organisasi atau masyarakat.
7. RUJUKAN
1.
Johardy Ibrahim, Angelina
Sinyang Dan Md Azrin Rosly. (2017, November 22). Sedia hadapi perubahan.
Retrieved from http://www.utusan.com.my/bisnes/ekonomi/sedia-hadapi-perubahan
2.
Johari Yap. (2016, March 3).
Isu Pekerja Bangladesh Di Malaysia. Retrieved from http://www.malaysiandigest.com/bahasa-malaysia/598107-isu-pekerja-bangladesh-di-malaysia.html
3.
Kamaruddin Mahmood. (2017,
March 18). APAKAH CABARAN PENGURUSAN SUMBER MANUSIA? Retrieved from http://www.balohpedia.com/2017/03/cabaran-pengurusan-sumber-manusia.html
4.
Mohd Iqbal. (2014, May 5).
Pengenalan pengurusan sumber manusia. Retrieved from https://www.slideshare.net/si_iqbal/pengenalan-pengurusan-sumber-manusia
5.
Olivia Ruran. (n.d.). Isu dan
Cabaran Pengurusan Sesebuah Organisasi Bagi Melahirkan Sumber Manusia Yang
Cemerlang. Retrieved from
http://www.academia.edu/13892017/ISU_DAN_CABARAN_PENGURUSAN_SESEBUAH_ORGANISASI_BAGI_MELAHIRKAN_SUMBER_MANUSIA_YANG_CEMERLANG
Comments
Post a Comment